PASIR PUTEH: Seorang bapa dari Kampung Golok, Semerak, di sini, sanggup menggadaikan tanah pusaka bagi memastikan anaknya menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda di Universiti Teknologi Mara (UITM) Ahad ini.
Siti Nabila Mohammad Zaidi, 19, berkata, bapanya Mohammad Zaidi Che Ali, 51, berbuat demikian selepas mempuÂnyai wang simpanan berjumlah RM200 sahaja.
Menurutnya, wang tersebut tidak cukup untuk menampung perbelanjaan perjalanan ke UiTM selain membayar yuran pendaftaran.
“Ayah gadai tanah pusaka sebanyak RM3,000 untuk keÂperluan pengajian saya dan sebahagian digunakan bagi tujuan modal pusingan menanam padi.
“Bagaimanapun, semuanya berubah apabila saya terpilih menerima sumbangan segera dari pihak UiTM,” katanya kepada pemberita selepas menerima selepas menerima kunjungan dari Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Puncak Alam, Prof. Dr. Sazili Shahibi di sini semalam.
Siti Nabila yang merupakan anak kedua daripada lima beradik memberitahu, tanpa keprihatinan pengurusan UiTM berkemungkinan besar dia terpaksa melupakan impian untuk bergelar sebagai pendidik.
Katanya, UiTM menawarkan pengecualian yuran bermula semester satu hingga tamat peÂngajian.
Sementara itu Sazili berkata, seramai 42 pelajar yang terdiri daripada anak ansaf, fakir dan miskin serta orang kurang upaya (OKU) menerima sumbangan dari UiTM.
Katanya, kesemua mereka ini dikesan menerusi data e-Kasih dan pelbagai saluran maklumat yang digerakkan oleh 33 pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP).
Ujarnya, ia disusuli dengan Program Ziarah Kasih (PZK) yang dilancarkan hari ini deÂngan inisiatif menyantuni bakal mahasiswa yang akan mendaftar di UiTM bagi sesi 2024 bermula Ahad ini.
“PZK dimulakan dengan program turun padang meneÂmui enam bakal mahasiswa di Kelantan untuk menerima bantuan wang sumbangan serta keperluan pendaftaran.
“Kita juga gerakkan Timbalan Rektor (HEP) dari kampus cawangan UiTM serta Dekan dan Timbalan Dekan (HEP) Kolej Pengajian atau Fakulti bagi menjayakan PZK. Tujuannya untuk memastikan tiada calon yang tersisih,” ujarnya. – UTUSAN