HULU TERENGGANU: Jenazah seorang warga emas wanita di Kampung Bukit Tadok, dekat sini terpaksa diusung sepasukan anggota tentera untuk dimandi dan disolatkan setelah rumahnya dilanda banjir hari ini.

Menurut anaknya, Mat Sudin Mustafa, 63, pekarangan rumah yang dinaiki air lebih satu meter menyebabkan proses pengurusan jenazah sukar dilakukan.

“Ibu saya, Kelthom Mat, 84, yang mengalami sakit tua meninggal dunia kira-kira pukul 9 pagi tadi. Lebih kurang dua jam sebelum itu, saya ada menegurnya dan tidak sangka itu kali terakhir.

“Saya dapati ibu yang terbaring sudah meninggal dunia. Memandangkan rumah banjir saya hubungi penghulu minta bantuan pengurusan jenazah dan pihak pengurusan kemudiannya maklumkan kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pihak ATM ketika itu sedang lakukan operasi membantu mangsa banjir di kampung ini. Syukur, dengan bantuan pihak tentera proses bawa keluar arwah ibu ke Masjid Kampung Bukit Tadok untuk dimandi serta dikafankan berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di sini, petang ini.

Tambahnya, selepas selesai mandi, kafan dan solat, jenazah ibunya dibawa menggunakan bot ATM ke tanah perkuburan yang terletak di seberang sungai untuk dikebumikan.

Katanya lagi, jenazah ibunya selamat dibawa keluar kira-kira pukul 2.15 petang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tadok dijadualkan selepas solat asar hari ini.

Mat Sudin berkata, hanya ucapan terima kasih dapat diungkapkan atas keprihatinan pihak ATM membantu walaupun terpaksa harungi banjir sedalam lebih satu meter mengusung arwah ibunya sebelum dibawa dengan trak ke masjid.

Ujarnya, hujan lebat berterusan sejak semalam mengakibatkan pekarangan rumahnya ditengelami banjir dan senario itu saban tahun dilaluinya sejak 52 tahun lalu.

Sementara itu, Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 RAMD (Para) Leftenan Kolonel Mohd. Zaki Jusoh berkata, pasukan 18 RAMD PARA telah mengatur gerakkan first responder bagi membantu mangsa banjir yang terjejas.

“Hari ini, pasukan 18 RAMD (Para) turut berikan bantuan memindahkan jenazah seorang wanita warga emas dari rumah di Kampung Bukit Tadok, Hulu Terengganu ke tanah perkuburan.

“Atur gerak ini melibatkan tiga pegawai dan 25 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) diketuai, Mejar Shah Hadi Shah Budin termasuk aset perairan dan kenderaan bagi membantu memindahkan mangsa di kawasan terjejas ke PPS,” ujarnya. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply