Banjir di Terengganu semakin surut


KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu semakij surur dengan hanya satu daerah iaitu Dungun masih terjejas ketika ini melibatkan 1,300 mangsa daripada 386 keluarga setakat pukul 8 malam ini.

Jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding 1,812 mangsa daripada 515 keluarga yang terjejas pada pukul 8 pagi tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, banjir di tiga daerah iaitu Setiu, Hulu Terengganu dan Besut pula telah pulih sepenuhnya hari ini dan semua pusat pemindahan sementara (PPS) telah pun ditutup.

Ketika ini terdapat 12 PPS beroperasi di Dungun iaitu Dewan Serbaguna Kampung Shukor yang menempatkan 226 mangsa daripada 61 keluarga, Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja (258 orang, 99 keluarga), Masjid Jamek Kampung Jongok Batu (258 orang, 69 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jengai (170 orang, 52 keluarga).

Selain itu, Balai Raya Rantau Panjang (107 orang), Dewan Orang Ramai Kampung Minda (44 orang), Balai Raya Kampung Dendang (31 orang), Dewan Serbaguna Kampung Paya Kemudi (47 orang), Dewan Orang Ramai Tepus (40 orang), Masjid Kampung Padang Ping (76 orang), Dewan Serbaguna Bukit Merah (9 orang) dan SMK Padang Pulut (34 orang).

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal pula melaporkan hanya satu sungai masih melepasi paras bahaya setakat pukul 4 petang ini iaitu Sungai Dungun di daerah Dungun.

Rekod JPS juga menunjukkan lima lagi sungai pula melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukti (Setiu) serta Sungai Terengganu di Kampung Dura dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu (Hulu Terengganu).

Selain itu ialah Sungai Nerus di Kampung Jeram (Kuala Nerus) dan Sungai Ban Ho di Jambatan Cherul (daerah Kemaman). – UTUSAN





Source link

Leave a Reply