‘Bandar khemah’ untuk mangsa banjir di Brazil


PORTO ALEGRE: Sebanyak empat ‘bandar khemah’ dirancang untuk dibangunkan bagi menempatkan 8,000 penduduk di pusat perlindungan akibat banjir buruk di negeri paling selatan di Brazil. 

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri sudah mengenal pasti lokasi di ibu negeri Porto Alegre dan berdekatan Canoas dan Sao Leopoldo yang bersesuaian untuk pembinaan khemah itu. 

Pihak berkuasa turut mencari sebuah lokasi lain yang boleh berfungsi di bandar Guaiba yang dilanda banjir yang teruk.  

Naib Gabenor, Gabriel Souza berkata, pihaknya merancang pembinaan struktur sementara yang dilengkapi bilik tidur, tandas, dapur dan tempat membasuh. 

“Ribuan orang berada di pusat perlindungan yang ditempatkan di sekolah, gereja dan arena sukan. Sebahagian daripada mereka pula tiada tempat lain hendak dituju,” katanya kepada Reuters. 

Souza berkata, kebanyakan bangunan awam yang digunakan sebagai tempat perlindungan perlu dikembalikan semula fungsi asalnya. 

Malah, sukarelawan yang berkhidmat juga perlu menjalani rutin harian mereka semula. 

“Kita jangka sekitar 15 peratus penduduk tidak perlu menetap di kemudahan sementara itu, daripada sekitar 50,000 orang yang berada di pusat perlindungan di empat bandar.

“Majoriti penduduk dijangka pulang semula ke kediaman masing-masing atau mencari alternatif lain seperti tinggal bersama kenalan mereka,” ujarnya. 

Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) mengumumkan sumbangan sebanyak 108 unit struktur sementara untuk digunakan di kem pelaran di Rio Grande do Sul. 

Pegawai UNHCR, Silvia Sander berkata, rumah bersaiz kecil itu boleh diubahsuai dalam pelbagai bentuk sama ada menempatkan ahli keluarga, atau dijadikan ruang bagi sukarelawan berehat. 

Hujan lebat sejak hujung April lalu, menyebabkan rekod banjir terburuk dalam sejarah negara itu kerana mengorbankan 151 orang dan lebih 100 yang lain masih hilang di negeri Rio Grande do Sul.

Hampir setengah juta penduduk terpaksa menyelamatkan diri dengan meninggalkan kediaman mereka, dan lebih 77,000 orang berada di pusat perlindungan awam. 





Source link

Leave a Reply