KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih membisu mengenai hasrat pemain beregu negara Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Mohd Rumsani untuk meninggalkan badan induk tersebut.

Pengarah latihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyatakan bahawa ABM masih dalam perbincangan mengenai perkara tersebut dengan pasangan yang menduduki tempat ke-13 dunia itu sebelum dibawa ke pihak lembaga BAM untuk tindakan selanjutnya.

“Kami tidak boleh berkata apa-apa kerana kami belum mengetahui semua keputusan. Kami perlu duduk bersama untuk membincangkan semuanya.

“Kemudian, semua keputusan daripada perbincangan itu akan dibentangkan kepada ahli lembaga untuk mendapatkan kelulusan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar hari ini.

Sebelumnya, terdapat desas-desus bahawa Sze Fei-Izzuddin akan meninggalkan badan induk untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional.

Sementara itu, Rexy menyatakan bahawa buat masa ini Sze Fei-Izzuddin masih berada di bawah BAM dan akan menjalani latihan di ABM seperti biasa.

“Mereka masih menjalani latihan di sini seperti biasa dan akan menyertai Terbuka Jepun dan Korea,” tambahnya.



Source link

Leave a Reply