PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) kini sedang mencari jurulatih baharu untuk pasukan beregu lelaki setelah Tan Bin Shern mengundurkan diri dari jawatan tersebut.
Cabaran berat menanti jurulatih baru ini, kerana Tan telah berjaya melatih pasangan ranking dunia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, meraih dua pingat gangsa di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dan Paris 2024, selain menjuarai Kejohanan Dunia 2022.
Dikhabarkan kontrak Tan akan tamat pada 13 Januari dan beliau telah memutuskan untuk tidak menyambung kontrak. Tan dijangka akan menyertai Persatuan Badminton Hong Kong.
Aaron menyatakan bahawa beliau mengetahui mengenai pemergian Tan selepas saingan World Tour Finals di Hangzhou, China, menurut laporan New Straits Times.
“Saya tidak mahu komen banyak sebab jurulatih datang dan pergi. Kami hormati dan terima keputusan beliau,” kata Aaron.
“Saya percaya beliau ada matlamat yang perlu dicapai. Kita tunggu jurulatih baru dilantik dan teruskan perjuangan,” tambahnya.
Dia juga mengesahkan bahawa ada pemain lain yang juga dilibatkan dalam proses pemilihan pengganti Tan.
“Bukan tempat saya untuk bercakap lebih. Biarlah BAM umumkan apabila sudah tiba masanya. Jurulatih baru ini akan bekerja bukan hanya dengan kami tetapi juga dengan pasangan lain,” ujarnya.
Sementara itu, Wooi Yik memberi penghargaan kepada Tan, menyebut bimbingan beliau selama lima tahun telah membantu mereka menjadi antara yang “terbaik di dunia”.
Tambahnya, sasaran mereka sentiasa untuk menang dalam setiap pertandingan, apabila ditanya sama ada menjuarai Piala Malaysia merupakan penghargaan yang sesuai untuk jurulatih mereka.