Bakal jemaah terpedaya pakej umrah murah


KUANTAN: Seramai 19 orang bakal jemaah kecewa tidak dapat menunaikan umrah akibat terpedaya dengan penipuan satu pakej umrah murah ditawarkan sebuah syarikat pelancongan terkemuka di sini, hari ini.

Pakej yang ditawarkan  syarikat terbabit merupakan pakej ‘Rindu Raudhah’ berharga RM5,990 berbanding RM7,990 sebelum ini.

Seorang daripada mangsa, Kamarudin Yahaya, 65, berkata, gara-gara terpedaya dengan pakej umrah murah, dia sekeluarga tidak dapat mengerjakan umrah pada 11 November lalu.

Menurutnya, dia bercadang membawa empat ahli keluarganya bersama untuk mengerjakan umrah tersebut.

“Dengan pakej umrah ‘Rindu Raudhah’ yang ditawarkan, saya terus membuat pendaftaran pada 27 Mac lalu di pejabat yang terletak di Indera Mahkota, dekat sini dengan bayaran penuh RM30,000 kepada syarikat berkenaan.

“Sepatutnya kami dijadualkan pergi umrah pada 1 November lalu, tetapi ditunda kepada 4 November dan sekali lagi ditunda pada Februari tahun hadapan namun tanpa sebarang tarikh. Itupun diberitahu melalui WhatsApp.

“Sehingga kini syarikat tersebut tidak memberikan sebarang maklum balas. Dari situ timbul satu kemusykilan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Kesemua mereka telah hadir untuk membuat laporan polis ke atas syarikat berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.

Difahamkan masih terdapat ramai lagi individu menjadi mangsa syarikat berkenaan yang menawarkan pakej tersebut di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Norafi Mustafa, 55, berkata, dia tidak menyangka perkara itu berlaku ke atas dirinya kerana ini merupakan kali kedua dia menggunakan perkhidmatan umrah syarikat berkenaan.

Katanya, memandangkan pakej kali ini lebih murah berbanding sebelum yang berharga sekitar RM8,000 dia turut mengajak 13 lagi rakan dan saudara-mara untuk turut serta.

“Saya yang bertindak sebagai konsultan syarikat berkenaan merasa bertanggungjawab apabila kejadian sebegini berlaku.

“Kami ada mendapatkan maklum balas dari syarikat tersebut dan dimaklumkan syarikat telah bertukar pengurusan baharu dan kami dimaklumkan kami akan terbang mengerjakan umrah pada 12 Februari dengan syarikat yang baharu menerusi mesyuarat yang dilakukan atas talian Zoom.

“Namun, selepas disiasat kami dapat tahu tiada sebarang transaksi bayaran dibuat kepada syarikat baharu berkenaan. Apabila kami bertanya semula kepada syarikat itu, mereka hanya mendiamkan diri,” katanya.

Menurut Norafi, dia pernah menuntut kembali wang dan syarikat berkenaan berjanji untuk membuat pemulangan pada 15 Disember lalu namun sehingga kini tiada sebarang pembayaran dibuat.

Katanya lagi, syarikat terbabit dikatakan sudah menutup perniagaan mereka.

Sehubungan itu, Norafi berharap masalah itu mendapat perhatian pihak bertanggungjawab agar ia tidak berlarutan sehingga lebih ramai yang akan jadi mangsa. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply