Bahaya Ribut Matahari Meningkatkan Risiko Kemalangan Kereta Api


SAINTIS memberi amaran ribut solar yang tercetus daripada lubang koronal terbuka di matahari mampu menyebabkan kemalangan kereta api.
Kajian terbaharu mendapati fenomena cuaca angkasa lepas yang dikesan berlaku beberapa minggu lalu tidak seharusnya dipandang remeh kerana mampu menyebabkan kelewatan dan kemalangan kereta api dengan mencetuskan gangguan magnet yang kuat di bumi.
Penyelidik di Universiti Lancaster menjelaskan, cuaca angkasa lepas mampu menukar isyarat merah kepada hijau yang disifatkan sangat berbahaya untuk keselamatan.
Pengarah Keselamatan dan Kejuruteraan Kumpulan Network Rail, Martin Frobisher sebelum ini memberitahu Sky News, ribut solar hanya mencetus risiko yang sangat kecil.
“Kami perlu menumpukan sumber terhad kami kepada isu keutamaan yang lebih tinggi seperti perubahan iklim dan ancaman keselamatan,” tambahnya.
Namun, Ketua Penyelidik, Cameron Patterson berkata, kejadian cuaca angkasa lepas mampu mencetuskan kerosakan yang dijangka berlaku di United Kingdom (UK) setiap beberapa dekad.
Terdapat lebih daripada 50,000 litar trek isyarat di UK, di mana isyarat dikawal oleh litar elektrik antara rel.
Katanya, fenomena ribut solar boleh mencetuskan gangguan magnet yang kuat di bumi, mewujudkan arus teraruh geomagnet yang berpotensi mengganggu penghantaran elektrik.
Cuaca angkasa lepas menjejaskan grid kuasa dan menyebabkan berjuta-juta orang terputus bekalan elektrik di Quebec pada tahun 1989.
Pada 1859, letusan solar besar-besaran mencetuskan ribut geo magnet yang mengganggu talian telegraf di seluruh dunia.
Pasukan saintis yang diketuai oleh Patterson dan Profesor Jim Wild, memodelkan bagaimana arus boleh menyebabkan isyarat kereta api tidak berfungsi.

“Yang penting, penyelidikan kami mencadangkan bahawa cuaca angkasa lepas mampu menukar isyarat ke mana-mana arah, menukar isyarat merah menjadi hijau atau sebaliknya,” kata Patterson.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Space Weather mendapati, kesilapan isyarat merah bertukar hijau yang boleh mencetus keadaan lebih berbahaya, berlaku pada kekuatan medan geoelektrik lebih rendah.
Ini bermakna ribut geomagnet yang lebih lemah boleh mencetuskan risiko kegagalan isyarat lebih buruk.
“Penyelidikan kami menunjukkan cuaca angkasa lepas menimbulkan risiko serius kepada sistem isyarat rel, boleh menyebabkan kelewatan, malah mempunyai implikasi keselamatan yang lebih kritikal.
“Bahaya semula jadi ini perlu dipandang serius. Mengikut sifatnya, peristiwa berimpak tinggi dan frekuensi rendah sukar untuk dirancang, tetapi mengabaikannya bukanlah cara terbaik yang patut dilakukan pengendali kemudahan pengangkutan,” tegasnya.





Source link

Leave a Reply