SEPANG, 3 Nov: Juara dunia MotoGP dua kali, Francesco Bagnaia yang beraksi untuk Lenovo Ducati Team menghidupkan peluangnya dalam perebutan kejuaraan musim ini apabila memenangi GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebentar tadi.
Bagnaia yang memulakan perlumbaan di petak pertama memecut sejak awal walaupun diberikan saingan sengit oleh Jorge Martin.
Kemenangan yang direkodkan pelumba Itali itu juga menangguhkan impian Martin untuk menggengam mahkota kejuaraan musim ini lebih awal.
@tvsarawak Pelumba negara, Helmi Azman yang beraksi bersama pasukan PETRONAS MIE Racing RW dalam kelas Moto3 menamatkan cabaran di tempat ke-23 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebentar tadi. 📹 Hafeezzur Muzamir (TVS) 📱 Strim live di tvsarawak.my atau di aplikasi MYTV Mana-Mana, Unifi TV dan Astro GO sekarang! #TVS122 #TVSNews #TVSarawak #GPMalaysia #Moto3 #LitarSepang #PETRONASMieRacingRW
♬ original sound – tvsarawak – tvsarawak
Martin yang mewakili pasukan Prima Pramac Racing hanya memerlukan sembilan mata untuk ditabalkan selaku juara.
Perlumbaan dalam keadaan cuaca panas dengan suhu melebihi 33 celcius itu berlangsung sengit malah kedua-dua pelumba hampir terbabas di selekoh pada pusingan pertama apabila bertembung namun pengalaman luas mereka berjaya mengimbangi jentera masing-masing.
Perlumbaan juga dihentikan seketika susulan insiden pelanggaran melibatkan beberapa pelumba pada pusingan pertama.
Bersambung perlumbaan, Martin dan Bagnaia sekali lagi menjadi tumpuan ribuan penonton apabila mereka bersaing sengit dengan saling bertukar kedudukan pendahulu namun Bagnaia lebih pantas di laluan lurus.
Memasuki pusingan kelima, pelumba berusia 27 tahun itu mula menjarakkan diri apabila meninggalkan Martin serta diekori rapat oleh Marc Marquez di tempat ketiga.
Pelumba Sepanyol itu tidak bernasib baik apabila terbabas ketika pusingan kelapan.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlumbaan dengan Bagnaia menjuarai GP Sepang sekali gus menyaksikan kejuaraan hanya akan diketahui pada perlumbaan terakhir musim ini.
Rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini melengkapkan kedudukan podium apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.
Kemenangan itu menyaksikan Bagnaia mengumpul 461, mata ketinggalan 24 mata di belakang Martin yang mengutip 485 mata.
Sementara itu bagi kelas Moto2 pula, Celestino Vietti dari pasukan KTM Ajo mudah memenangi perlumbaan selepas mendahului sejak awal.
Naib juara menjadi milik Jorge Navarro yang mewakili America Racing Team manakala tempat ketiga pula diraih oleh I.Guevara dari pasukan CFMoto RCB Aspar.
Wakil negara yang beraksi dalam kelas itu bersama pasukan PETRONAS MIE Racing RW, Helmi Azman menamatkan cabaran di tempat ke-23.
Helmi yang berlumba atas tiket ‘wildcard’, memulakan perlumbaan di petak ke-29 dan menamatkan saingan 49 saat di belakang pemenang, Vietti.
Bagi kelas Moto3 pula, pelumba pasukan CFMOTO Gaviota Aspar, David Alonso (CFMOTO Gaviota Aspar Team) berjaya memenangi pelumbaan sekali gus menyaksikan beliau merakam kemenangan ke-13 musim ini.
Tempat kedua pula menjadi milik pelumba Honda Team Asia, Taiyo Furusato, manakala Jose Antonio Rueda dari Red Bull KTM Ajo melengkapkan podium di kedudukan ketiga. – TVS.