KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tidak dapat meneruskan perjuangan dalam acara pecut apabila impiannya untuk memburu tiket ke suku akhir di Sukan Olimpik Paris 2024 tersekat dalam aksi pusingan repechages 1/8 sebentar tadi.

Dalam perlumbaan yang berlangsung di Saint Quentin en Yvelines, Paris tersebut, Azizulhasni bermula baik apabila melepasi pelumba Great Britain, Hamish Turnbull di peringkat 1/16.

Bagaimanapun, pada perlumbaan peringkat 1/8, Azizulhasni ditentang hebat wakil Belanda, Jeffrey Hoogland yang memaksa pelumba negara itu ke pusingan repechage bersama dua pelumba lain Mateusz Rudyk dari Poland dan Mikhail Yakovlev (Israel).

Biarpun ‘The Pocket Rocketman’ bermula baik di pusingan repechage dengan mengejar dua lawannya itu, namun Rudyk meningkatkan tempo kayuhannya untuk muncul juara saingan tersebut sekali gus menempah tiket ke suku akhir.

Selepas ini, Azizulhasni akan mengalih tumpuan apabila beraksi dalam acara kegemarannya iaitu keirin pada hujung minggu ini terutama misi memburu pingat emas pertama negara.

Sementara itu, pelumba sensasi Belanda, Harrie Lavreysen yang dalam misi melengkapkan emas kedua di pentas Sukan Olimpik dalam acara pecut menepati ramalan apabila mara ke suku akhir.

Selain itu, pelumba Australia, Matthew Richardson serta dua pelumba Jepun, Kaiya Ota dan Yuta Obara serta Nicholas Paul (Trinidad and Tobago) turut melangkah ke suku akhir. Pelumba Great Britain, Turnbull dan Jack Carlin yang dilihat menjadi pencabar hebat di Paris juga tidak terlepas berada di pentas suku akhir yang bermula Jumaat nanti.  -KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply