KUALA LUMPUR : Pelakon dan bekas isteri Fizi Ali, Shakila Koriri, 35, menafikan selama ini telah melarang bekas suaminya itu untuk bertemu dengan anak tunggal mereka, Ameena Sofia.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Shakila berkata, Fizi tidak pernah mempunyai inisiatif untuk bertemu dengan Ameena meskipun berkali-kali diminta untuk hadir meluangkan masa bersama sebagai ibu dan ayah kepada anak mereka yang berusia lima tahun itu.

“Selama ini, saya bersusah payah untuk menyatukan kami bertiga sebagai Ibu dan ayah kepada Ameena. Berkali-kali jemputan berkaitan Ameena ditolak kerana tidak mahu ada masa bertiga. Setiap kali saya yang dulu rendahkan diri demi Ameena.

“Usaha demi usaha sampailah saya rasa maruah saya dipijak malah dituduh tidak ‘move on’ sebab sering kali mencari. Kisah saya dan dia (Fizi) sudah berakhir dan saya pun dah lama reda dengan semua itu.

“Daddy Ameena,rumah saya sentiasa terbuka untuk awak datang bila-bila masa untuk berjumpa dengan anak. Tidak ada istilah menceroboh sebab awak sebahagian dari hidup Ameena. Kami sentiasa tunggu panggilan video dan text dari awak untuk berjumpa.

“Awak tak mencari Ameena, jadi berhenti cakap saya larikan anak awak. Hentikan! Tolong berkomunikasi dengan saya secara baik dan tenang,”katanya.

Selain itu, Shakila juga mendedahkan, dia tidak pernah berniat untuk memutuskan silaturahim antara bapa dengan anak.

Bagaimanapun, katanya, dia sudah penat dengan segala provokasi dan spekulasi yang bertebaran di media sosial.

“Cukuplah provokasi dan spekulasi tentang kisah kami. Saya tak perlu jawab apatah lagi pamer bukti atas setiap keputusan yang saya buat untuk anak saya.Anak saya lebih penting buat masa sekarang tetapi saya tak menafikan hak Ameena untuk mendapat perhatian dan kasih sayang daripada dua belah pihak.

“Cukuplah dengan kenyataan saya tak bagi jumpa anak. Cukuplah dengan provokasi dan media sosial. Cukuplah dengan cerita peribadi. Saya penat. Beri saya ruang untuk merangka satu perjalanan yang terbaik untuk anak kesayangan kami.

“Berlapang dadalah dengan apa yang terjadi. Tugas saya berat sebagai seorang ibu kandungnya. Suatu hari bila cukup ajaran saya pada anak, saya sendiri berlapang dada untuk beri pilihan pada dia untuk memilih jalan hidup dia sendiri.

“Sejahat dan sekeji apa pun saya, saya seorang ibu. Saya melahirkan dan saya membesarkan Ameena. Saya lebih memahami ragam anak yang kian membesar,”katanya.

Terdahulu, Fizi memfailkan kes hadanah bulan lalu di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana Shakila enggan membenarkan dia bertemu anaknya.

Fizi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shakilla pada 18 Februari 2018, namun bercerai pada Disember 2021.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Ameena Sofia.

Untuk info, Hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.





Source link

Leave a Reply