Perbadanan Pelancongan Saudi (STA) akan menjadi tuan rumah acara jaringan perdagangan terbesar, NUSUK, di Malaysia pada 27 Ogos di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Acara ini akan menghimpunkan lebih daripada 40 pemangku kepentingan Saudi yang terkemuka dan 500 agensi pelancongan dari Malaysia dan seluruh Asia Tenggara. Yang Berhormat Dr. Tawfiq bin Fawzan AlRabiah, Menteri Haji & Umrah Saudi Arabia, dijadualkan hadir pada perhimpunan penting ini.
NUSUK berfungsi sebagai platform bagi Perbadanan Pelancongan Saudi untuk berinteraksi dengan rakan kongsi utama, termasuk Syarikat Pengurusan Destinasi (DMC), hotel, penyedia pengangkutan, dan rakan penting lain dalam industri pelancongan. Matlamat utama adalah untuk memahami keperluan mereka dengan lebih baik, membolehkan STA memperbaiki tawaran, produk, dan pakej yang ditawarkan. Ini bukan sahaja akan mempertingkatkan pengalaman spiritual para pelancong Malaysia yang menunaikan Umrah, tetapi juga memudahkan eksplorasi destinasi lain di Saudi Arabia.
Satu siri kerjasama dan inisiatif utama akan diumumkan semasa acara ini, termasuk:
Pengalaman Perjalanan Eksklusif Andalusia dengan WeXpress: Bermula pada bulan Disember, Andalusia akan melancarkan pakej pelancongan unik dengan kerjasama WeXpress. Pakej ini akan menampilkan jadual perjalanan eksklusif, cadangan pelancongan, dan kandungan yang dirakam oleh duta WeXpress, Alif Satar, yang semuanya disokong oleh STA.
Mitra Kembara dan Grab Memudahkan Umrah untuk Pemandu: Dalam inisiatif baru ini, Mitra Kembara dan Grab akan bekerjasama untuk menawarkan pakej Umrah khusus kepada lebih 300,000 pemandu Grab Malaysia yang layak. Pakej ini akan dibiayai oleh Grab, manakala tiket penerbangan akan disediakan oleh SAUDIA. STA akan memberikan sokongan dalam jadual perjalanan, logistik, dan akses istimewa ke lokasi-lokasi utama untuk memastikan pengalaman yang lancar dan bermakna bagi para pemandu.
Pengenalan Kapal Pesiar Halal Saudi Aroya: Saudi akan memperkenalkan barisan kapal pesiar halal yang pertama, Aroya Cruise, yang akan memulakan operasinya dari Jeddah pada Disember 2024. Ini menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan industri kapal pesiar bertaraf dunia di Saudi Arabia.
Selain daripada inisiatif ini, Saudi sedang memudahkan perjalanan untuk pengunjung Malaysia dengan menawarkan Visa Henti Percuma selama 96 jam serta eVisa yang sah sehingga 90 hari. Pelancong yang mempunyai visa Umrah juga berpeluang untuk meneroka destinasi tambahan di dalam Saudi Arabia dalam tempoh sah 90 hari tersebut.
Acara ini bertepatan dengan Pameran Pelancongan Saudi yang pertama, yang akan diadakan dari 28 Ogos hingga 1 September di IOI Putrajaya Mall. Pengunjung boleh menjangkakan tawaran eksklusif, pakej pelancongan yang menarik, pengalaman maya dan budaya yang interaktif, serta peluang untuk memenangi hadiah menarik.