Ashby Rovers FC juara sulung Piala Cheetah


IPOH: Pasukan Ashby Rovers FC muncul juara pertama pertandingan bola sepak Piala Cheetah Perak FC selepas menumpaskan Ipoh Unity Recreation Club (IURC) 3-2 melalui penentuan penalti dalam perlawanan akhir di sini hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor, di sini itu terpaksa diputuskan melalui penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Pasukan Ashby Rovers FC nyata lebih bernasib baik apabila berjaya menyempurnakan tiga sepakan berbanding lawan yang hanya menyumbat dua penalti.

Dengan kejayaan itu, Ashby Rovers membawa pulang trofi serta hadiah kemenangan wang tunai RM10,000.

Pasukan rumah pangsa Ashby itu menjulang dua anugerah individu apabila pemainnya, Mohamad Haziq Danish Mohd Hafidz dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik Kejohanan.

Pasukan IURC meraih hadiah kemenangan  RM6,000 sebagai naib juara, pasukan Anderson yang menduduki tempat ketiga menerima RM4,000 manakala Manjung United di tempat keempat meraih, RM2,000. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply