PETALING JAYA: Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi membuktikan dirinya antara pemain terbaik Asia apabila menjaringkan dua gol ketika membantu Harimau Selatan mengikat Shanghai Port FC 2-2 pada aksi pertama ACL Elite di Stadium Bolasepak Pudong, Shanghai, malam tadi.

Kejayaan mencuri satu mata daripada juara Liga China musim lalu itu, merentap ego Shanghai Port FC yang ditunjangi beberapa pemain ternama dunia diketuai bekas pemain tengah Chelsea, Oscar.

Dalam aksi itu, Hector Bidoglio membariskan skuad terkuat dengan menyenaraikan sembilan tonggak import termasuk penjaga gol, Andoni Zubiaurre dengan dua lagi pemain tempatan, Arif Aiman dan Natxo Insa.

Bagaimanapun, skuad The Red Eagles dilihat menguasai permainan dengan baik dan hampir menjaringkan gol pada minit ke-19 sebelum William Popp dikesan ofsaid ketika Zubiaurre sedia menghalang percubaannya.

Pelawat yang juga juara 10 kali berturut-turut Liga Super juga memiliki berpeluang membuka tirai jaringan pada minit ke-22 namun sentuhan Oscar Aribas sedikit tinggi.

JDT sekali lagi memberi tekanan kepada tuan rumah menerusi sepakan percuma Juan Muniz tetapi rembatannya di minit ke-31 berjaya ditepis Yan Junling.

Jaringan yang dinantikan akhirnya terhasil pada minit ke-45 menerusi ledakan Arif Aiman apabila berjaya melepasi pertahanan tuan rumah sebelum melepaskan rembatan kaki kiri.

Tersentak dengan gol itu, Shanghai Port FC hanya memerlukan dua minit sebaik separuh masa kedua bermula untuk mengikat kedudukan 1-1 hasil tolakan mudah Gustavo da Silva yang menyambung percubaan awal Popp yang ditepis Zubiaurre.

Begitupun, skuad Harimau Selatan kembali mendahului apabila Arif Aiman sekali lagi mencetak gol kedua peribadinya selepas tenang mengatasi Junling pada minit ke-56.

Namun, tuan rumah yang dibimbing Kevin Muscat sekali lagi bangkit pada minit ke-73 menerusi Popp yang memanfaatkan situasi kelam kabut dalam kotak penalti.

Shanghai Port terus melakukan asakan bertali arus ke gawang JDT namun gagal menggandakan jaringan sekali gus kedua-dua pasukan berpuas hati berkongsi satu mata.

Selepas ini, JDT akan melayan kunjungan Shanghai Shenhua di Stadium Sultan Ibrahim pada 1 Oktober depan.-UTUSAN





Source link

Leave a Reply