Ardern kahwini Clarke Gayford


WELLINGTON: Bekas Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Clarke Gayford dalam satu majlis tertutup Sabtu lalu.

Ardern, 43, dan Gayford, 47, bertunang pada Mei 2019 dan sepatutnya berkahwin pada awal 2022, tetapi majlis tersebut dibatalkan kerana kawalan ketat terhadap wabak Covid-19 yang membolehkan New Zealand mengekalkan kadar kematian rendah akibat virus itu.

Beliau menjadi ikon global untuk politik berhaluan kiri dan wanita dalam kepimpinan ketika memegang jawatan perdana menteri dari 2017 hingga Januari tahun lalu. 

Ardern, salah seorang daripada dua wanita yang melahirkan bayi sebagai pemimpin negara, mendapat perhatian ramai kerana pernah membawa anak perempuannya ke mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut jurucakap Ardern, majlis perkahwinannya berlangsung di Hawke’s Bay di Craggy Range Winery di pantai timur Pulau Utara New Zealand, kira-kira 310 kilometer di utara ibu kota Wellington.

Lapor laman berita Stuff, gambar rasmi menunjukkan Ardern tersenyum memakai gaun putih manakala Gayford yang memakai sut hitam disatukan di hadapan kira-kira 50 hingga 75 tetamu.

Antara tetamu yang hadir termasuk Perdana Menteri, Chris Hipkins.

Ardern sejak enam bulan lalu menjalankan tiga program bersekutu di Universiti Harvard.

Beliau turut menjadi pemegang amanah Hadiah Earthshot Putera William dan utusan khas untuk rangkaian Christchurch Call yang bertujuan menghapuskan kandungan pengganas dan pelampau dalam talian.-REUTERS





Source link

Leave a Reply