Anugerah Juara Lagu ke-38 milik Amir Jahari


KUALA LUMPUR : Lagu Hasrat nyanyian Amir Jahari menepati ramalan ramai apabila diangkat sebagai Juara Lagu ke-38 (AJL 38) yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, malam tadi.

Lagu ciptaan komposer dan lirik oleh Amir sendiri itu berjaya mengenepikan 11 lagu lain yang berentap bagi merebut kejuaraan lagu berprestij tersebut.

Kemenangan tersebut turut melayakkan penyanyi berusia 31 tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 serta trofi.

Tempat kedua pula diraih oleh lagu Sutera ciptaan dan lirik Aisha Retno dan MFMF itu sekali gus membawa pulang RM50,000 serta trofi.

Aisha juga pulang dengan senyuman apabila turut diangkat sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik dengan meraih wang tunai berjumlah RM12,000 serta trofi.

Manakala tempat ketiga dimiliki oleh lagu Jangan Mati Rasa Itu yang dibawakan Aina Abdul sekali gus menyaksikan pemenang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 serta trofi.

Aina turut menggondol Anugerah Vokal Terbaik dimenangi yang menyaksikannya membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000 serta trofi.

Tidak cuma itu, Aina juga membawa pulang Anugerah Pilihan Alha Alfa yang berjumlah RM12,000 serta trofi.

AJL 38 bersiaran langsung dari Axiata Arena Bukit Jalil dengan membawakan tema Muzikaverse, gabungan Muzik dan Multiverse.

Malam anugerah juga menyaksikan gandingan dua ikon pengacara berkarisma iaitu Sherry Alhadad dan Alif Satar manalala segmen Karpet Merah dihoskan oleh Fizi Ali dan Fiza Frizzy.

Persembahan pembukaan telah dihiasi dengan aksi bertenaga daripada Shila Amzah dan Vanessa Reynauld serta Sissy Iman sebagai pemain keyboard termasuk tiga pemain muzik muda yang berbakat besar iaitu Naimi Daini (drum), Tasneem Bolhasan (bass) dan Anis Kalisa (gitar).

12 lagu yang bertanding di AJL38 adalah Inilah Jalannya nyanyian Masdo (Masdo/Noh Salleh), Jangan Mati Rasa Itu ciptaan dan nyanyian Aina Abdul, Astana (Ernie Zakri/ Omar K/ Syamel/ Syazriq Azeman) Sutera (Aisha Retno/Aisha Retno dan MFMF/Aisha Retno), Santai (Naqiu/Faizal Tahir), Darah (Marsha Milan/ Naim Daniel dan Firdaus Rahmat) dan Kalam (Shiha Zikir/ Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat/ Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat).

Tidak ketinggalan, Hasrat (Amir Jahari/ Amir Jahari), Kucuma (Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah/A Ramlee dan Ezra Kong/ A Ramlee dan Ezra Kong), Waktu (Hasif Upin dan Ziana Zain/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat/ Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat) dan Selagi Ku Ada (Khai Bahar & Nabila Razali/ Amylea).





Source link

Leave a Reply