Anies bertekad bangunkan 40 kota baharu


JAKARTA: Calon presiden Indonesia, Anies Baswedan memaklumkan beliau  bertekad untuk membangunkan 40 kota baharu secara serentak di negara itu. 

Menurutnya, Serang dan Banten akan menjadi antara bandar baharu yang menjadi keutamaan di bawah programnya.

Lapor Detik News, Anies berkata, beliau mahu mewujudkan pembangunan yang saksama di wilayah berkenaan.

“Salah satunya di Banten dan kami mahu wujudkan pembangunan yang saksama di sana,” katanya kepada pemberita di daerah Padarincang, Serang.

Jelas bekas Gabenor Jakarta itu, beliau memilih 40 kota baharu untuk dibangunkan secara serentak kerana merasakan pertumbuhan ekonomi ketika ini hanya tertumpu di Jawa.

“Jadi, langkah demikian diambil supaya kadar pertumbuhan dapat diagihkan sama rata di seluruh rantau ini,” katanya.

Menurut Anies, ketika ini, ramai penduduk hanya mencari kerja di bandar tertentu seperti di Jakarta atau Surabaya.

“InsyaAllah menerusi pendekatan 40 kota baharu ini, penduduk yang sedang mencari kerja tidak semestinya mengunjungi Jakarta mahupun Surabaya tetapi boleh pergi ke bandar lain di Indonesia,” katanya. 

Tambah Anies, beliau sendiri mahu membangunkan 40 bandar itu setaraf dengan kota Jakarta.

Pembangunan 40 kota baharu itu dilihat sebagai usaha Anies untuk menampung jumlah penduduk yang diramalkan meningkat 70 peratus dan akan tinggal di kawasan bandar.  

Dilaporkan, Anies bersama Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dan bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo akan bersaing merebut jawatan Presiden Indonesia dalam pilihan raya bulan depan.





Source link

Leave a Reply