Amir Jahari jual gitar untuk beli baju raya anak


DERIK papan dipijak, gema suara orang bertaranum dan mercun di halaman surau adalah perkara yang dirindukan penyanyi, Amir Jahari apabila bercerita tentang makna ‘pulang’. 

Jika Syawal diingati kerana kemeriahannya, namun pemenang Anugerah Juara Lagu ke-38 itu merasakan aura Ramadan tidak kurang syahdunya disambut di surau lama kediamannya yang terletak di Petra Jaya, Kuching, Sarawak.

“Berbanding raya, saya sebenarnya paling rindu suasana bertadarus di surau lama tempat tinggal saya. Ada sesuatu tentang surau lama saya itu yang berdinding dan berlantaikan papan. Bila orang berjalan, kita dapat rasa sedikit gegaran. 

“Tadarus diadakan selepas solat tarawih dan kami akan menghabiskan satu juzuk Al-Quran setiap malam sebelum moreh. Menjelang malam Nuzul Quran, akan diadakan majlis khatam Quran kepada sesiapa yang berjaya menghabiskan al-Quran. 

“Selain itu suasana di surau meriah dengan bunyi mercun. Manakala di depan selalunya ada gerai yang menjual sotong gantung yang kami panggil sotong tutong,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kini, surau tersebut telah pun dirobohkan, digantikan dengan binaan batu yang lebih moden.

“Kalau difikir, surau sekarang lebih selesa lebih-lebih lagi lengkap dengan pendingin hawa. 

“Cuma auranya tidak sama dengan surau lama seperti dulu-dulu. Memandangkan kali ini saya pulang ke Sarawak seminggu sebelum raya, jadi saya terlepas sambutan khatam Quran,” katanya. 

Jual gitar demi baju raya anak

Banyak yang dilalui Amir Jahari sebelum lagu Hasrat meledak. Seperti yang didedahkan sebelum ini, peserta program realiti Akademi Fantasia musim kesembilan itu pernah melalui fasa depresi sehingga dia pernah terfikir ingin menamatkan riwayat hidup. 

Dedah Amir, beberapa tahun kesihatan mentalnya terganggu, sekali gus memberi kesan kepada produktiviti, gaya hidup dan kewangannya.

“Saya pernah tidak pulang ke Sarawak, hanya berhari raya di Kuala Lumpur pada tahun 2018 dan juga beberapa tahun ketika pandemik. 

“Kehidupan saya boleh dikatakan susah tapi bukan kerana saya tiada kerja. Depresi membuatkan saya selalu ingin mengurung diri sekali gus memberi kesan kepada kerja dan kewangan. 

“Pernah suatu masa saya tiada duit untuk beraya. Jadi apa yang saya buat, saya jual gitar  dan berjaya dapatkan RM4,000. Dengan duit itu, barulah saya belikan baju raya untuk anak-anak saya. Itupun pada hari raya kedua,” katanya. 

Beraya di ibu kota tentu tidak sama meriahnya dengan lebaran di kampung halaman. Namun bagi Amir, anak-anaknya perlu memperoleh kenangan indah hari raya.

“Apalah makna hari raya jika tiada ketupat. Saya buka YouTube untuk belajar bagaimana cara menganyam ketupat. Pada masa yang sama, saya dapat kemahiran baru. Memang seronok. 

“Saya beli sedikit biskut manakala rumah saya hias dengan lampu ‘lip lap’ agar keluarga saya merasai kemeriahan hari raya.

“Waktu saya kecil, lebaran terasa indah sebab ibu bapa berusaha mewujudkan suasana itu. Saya mahu anak-anak saya juga ada memori itu,” tambahnya.

Kini, kesihatan mental Amir  perlahan-lahan pulih dengan bantuan ubat-ubatan dan  terapi. 

“Selepas jalani rawatan, barulah kesihatan mental saya membaik. Saya mula anjurkan kelas dalam talian dan menambah sumber pendapatan,” tambahnya. 

Walaupun pernah menyambut lebaran serba ringkas disebabkan kekangan kewangan, Amir bersyukur kerana ketiga-tiga anak dan isterinya tidak pernah mengeluh. 

“Isteri saya datang daripada keluarga yang sangat susah. Dia hidup dengan lampu pelita, rumah tiada televisyen dan kadangkala tidak bawa duit ke sekolah.

“Jadi, jika saya rasa hidup saya susah. Isteri saya rasa kehidupan itu sudah lebih baik daripada sebelumnya. Dia tidak rasa ‘susah’. 

“Anak-anak saya pula masih kecil dan belum faham erti susah atau senang. Asalkan ada makanan, mereka rasa semuanya baik-baik sahaja. Cuma sayalah sebagai seorang bapa ingin berikan yang terbaik buat anak-anak,” jelasnya. 

Berkat usaha dan rezeki menjelang hari raya, Amir baru sahaja menghadiahkan sebuah kereta baharu, proton Alza buat isterinya. 

“Kereta itu saya belikan buat isteri untuk dia bekerja. Memandangkan saya tiada lesen, jadi saya hadiahkan kereta itu untuknya. Bayangkan selama 18 tahun dia memandu kereta kelisa.

“Dapat sahaja kereta, kami terus ke Cameron Highland. Dia sangat gembira,” cerita penyanyi Penghibur Jalanan itu.

Ingin Pulang luahkan kerinduan

Terkini, Amir tampil dengan lagu terbarunya Ingin Pulang yang menceritakan kemeriahan suasana desa untuk menyambut lebaran. 

Menurutnya, lagu itu dihasilkan selepas lagu Hasrat, menceritakan kerinduannya kepada ibu ayah di Sarawak memandangkan dia tidak dapat pulang ke kampung akibat pandemik.

“Lagu ini menceritakan bagaimana kita pulang ke tempat asal. Saya tulis kerana rindukan kampung halaman ketika pandemik. 

“Saya buka ruang interpretasi agar pendengar memahami lagu ini. Boleh jadi mereka pulang ke kampung halaman, boleh jadi juga mereka pulang kepada seseorang,” katanya.





Source link

Leave a Reply