Hujan masih lebat di luar. Sudah tiga hari air mata langit itu tidak berhenti menitis. Pagi membawa ke petang. Petang membawa ke malam. Dua puluh empat jam, lantai bumi basah tidak berkesudahan. Kesedihan alam tidak pernah bernoktah.

Namun, aku tidak gusar. Kawasan kolej tempat aku sedang meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda ini, bukan kawasan banjir. Sepanjang dua tahun berada di sini, belum pernah lagi kawasan sekitar dinaiki atau ditakungi air hujan. Sistem perparitan juga adalah sangat baik di sini.

Ia bukan seperti di kolej rakan lain yang aku dengar. Ramai mengomel bahawa baru sahaja hujan beberapa jam, terus sahaja air longkang melimpah kerana tersumbat. Kawasan rendah berubah menjadi tasik yang terpaksa diredah untuk ke kuliah. Lebih mendukacitakan apabila berlaku ‘hujan di dalam dewan kuliah’ kerana ketirisan siling dan atap bocor.

Kawasan sekitar di sini, sangat selesa. Bahkan, aku sangat suka kepada suasana hujan. Aroma hujan yang memenuhi daratan sangat menenangkan. Ada ketika, aku sengaja tidak menggunakan payung untuk pulang daripada kuliah semata-mata ingin bermandikan rintik-rintik hujan yang segar.

Benar, aku akui hujan pada zaman kini bukan lagi butir-butir permata suci. Ia penuh bertoksik kerana dicemari oleh pelepasan bahan kimia beracun ke udara. Ada yang dilepaskan oleh kilang-kilang, ada daripada kenderaan, dan tidak kurang juga daripada penggunaan peti sejuk dan tin-tin aerosol. Tetapi, aku masih menghargai kehadiran hujan.

Ibu pernah berpesan agar segera mandi sekiranya terkena hujan. Katanya, nanti demam. Walaupun aku teringin untuk menafikan kepercayaan Ibu itu, namun banyak ketikanya ia benar. Sudah beberapa kali aku demam kerana tidak terus mandi selepas terkena hujan, dan ibu sentiasa ada bersama pil panadol dua butir untuk diberikan kepadaku.

Itu dahulu. Semasa di rumah bersama-sama ibu, ayah dan along. Sekarang di kolej ini, aku bersendirian di dalam bilik TB1-08 menikmati suasana langit yang kelabu dan tanah yang basah. Saja aku menghabiskan masa beberapa minit ini sebelum menghadiri kuliah.

Aku sudah bersiap sejak sepuluh minit yang lalu. Jubah yang siap diseterika selepas Subuh tadi, elok terletak ditubuhku. Tudung labuh yang melengkapkan pakaian seorang Muslimah, sudah tersarung elok membentuk wajah bujur sirihku. Tidak lupa aku memakai setokin tangan atau ‘stongan’, serta stoking.

Rintik hujan masih lebat. Kopi hitam pekat panas sudah habis kuteguk secawan bersama-sama beberapa keping biskut. Sekadar untuk mengalas perut. Kuliah hari ini bakal berlangsung selama tiga jam untuk tiga kursus berbeza. Jadi, aku hanya akan sempat makan tengah hari nanti. Tidak mengapa. Puasa sepanjang hari boleh, inikan sekadar beberapa jam tidak makan.

Jam sudah hampir ke pukul 7:45 pagi. Langit yang menangis masih kelabu. Tetapi sinar bahagia terpancar pada wajahku kerana dapat meredah hujan kesukaan sekali lagi pagi ini. Segera aku mencapai payung yang tergantung di belakang pintu bilik. Selepas mengunci pintu, aku menyarung sepasang sepatu hitam.

Langkah yang dibuka ke tangga, setapak demi setapak bergema di lorong laluan bilik asrama ini. Selepas menuruni anak-anak tangga, aku berada di kawasan luar asrama yang berbumbung. Senyum terukir di wajahku apabila berhadapan dengan si hujan.

“Apa khabar, wahai rintik hujan? Ayuh, temani aku ke kuliah,” selorohku sebelum menekan butang di batang payung dan mengembangkan kain payung yang terletak kental pada bilah-bilah besi yang kukuh.

Sejurus tubuh payungku disentuh oleh si hujan, berderap-derap bunyi hentaman rintik yang menandakan ia sedang membasahi payung yang tadi kering. Aku melangkah berhati-hati dengan menaikkan sedikit kain jubah yang labuh. Gusar ia akan basah atau dikotori najis. Sukar nanti untuk kusempurnakan solat dengannya.

Dalam tempoh seminit dua, akhirnya aku sampai ke Dewan Kuliah Temasik yang berada hanya beberapa meter dari kolej kediamanku. Kelihatan beberapa rakan sekuliah sudah berlari-lari anak memasuki dewan selepas memperkemaskan ikatan payung masing-masing. Aku juga melakukan yang sama.

Bukan apa. Kami semua tidak mahu terlewat ke kelas Dr. Mastika yang sangat menepati masa. Seperti yang sudah kujangka, ketika melangkah masuk ke dalam dewan, Dr. Mastika sudah duduk menunggu di meja pensyarah sambil leka meneliti skrin komputer riba. Aku terpaksa duduk di kerusi paling hadapan kerana kerusi di bahagian belakang sudah penuh.

Memang aku akui hanya kuliah Dr. Mastika sahaja yang akan mempunyai dewan yang penuh seawal permulaan kuliah. Ini kerana dia sendiri cukup menjaga masanya. Dia tidak pernah lewat walau seminit untuk memulakan kuliah atau mengakhiri kuliah.

Katanya – “Saya tak nak berjawab nanti di akhirat tentang kepatuhan saya menepati masa. Kalau saya mula lewat, gaji yang saya dapat nanti boleh dipersoal berkatnya. Dan kalau saya berakhir lewat, saya dikira mencuri masa kuliah pensyarah lain. Tak nak saya tanggung semua tu.”

Begitu hebat pendirian Dr. Mastika. Aku dan rakan sekuliah juga terdidik olehnya untuk turut menepati masa untuk ke kuliah. Ada ketika, kami juga merasa sedikit kecewa dengan pensyarah lain yang tidak menepati masa kuliah.

Ada dalam kalangan mereka yang hanya memaklumkan melalui aplikasi WhatsApp bahawa kuliah batal ketika kami sudah sepuluh minit menanti di dalam dewan. Seingat aku, Dr. Mastika akan memaklumkan kami, beberapa jam awal sekiranya dia ingin membatalkan kuliah. Itu adalah sifat seorang pensyarah yang kusanjung tinggi.

“Ok, tepat pukul 8 pagi. Assalamualaikum semua. Sihat pagi ini? Hujan lebat kan?” Suara Dr. Mastika memecah kesunyian di dalam dewan.

Kami semua menjawab soalannya dengan senyuman. Dia tersenyum manis dan bangun daripada duduk. Ketika dia ingin memulakan bicara bagi sesi pengajarannya, mata kami bertentangan. Kelihatan senyum manisnya hilang ketika dahinya dikerutkan.

“Hana, kamu tak sedar ke stoking yang kamu pakai tu dah basah berjeruk?” Soal Dr. Mastika.

Umpama tersedar daripada khayalan, aku mengalihkan pandangan ke arah stoking yang berada di sepasang kakiku. Ya Allah! Akibat terlalu asyik berjalan dengan girang kerana mengamati rintik hujan lebat sebentar tadi, aku tidak sedar bahawa seluruh stoking dan bahagian bawah jubahku sudah basah.

“Eh, ya lah. Tak perasan pula saya,” Ujarku serba-salah dengan melurut-lurut kain jubah yang basah.

Dr. Mastika tersenyum sekali lagi melihat aku yang gelabah. Dia kemudian meneruskan sesi pengajaran dengan tekun. Malangnya, aku tidak mampu menumpukan perhatian. Ternyata stoking yang basah telah membuatkan rasa sejuk penghawa dingin di dalam dewan ini, semakin mendingin.

Selepas 20 minit berlalu, aku mula diserang kesejukan. Kesemua perkongsian oleh Dr. Mastika menjadi kabur dan samar-samar. Kaki yang dibungkus stoking basah, terasa membeku. Jubah yang berada di tubuhku bagaikan tidak mampu menetapkan suhu di paras normal. Terasa merinding bulu roma di seluruh tubuh.

Aku terbersin beberapa kali dan hingus mula membasahi rongga hidung. Sejuk yang berasa sampai ke tulang menjadikan aku terketar-ketar sendirian. Aku cuba mencapai tisu yang biasa aku letakkan di dalam beg sandang buku-buku nota. Malangnya, ia sudah habis. Hanya plastik pembungkus tisu sahaja yang tertinggal.

Satu keluhan yang berat kulepaskan. Sudahlah sejuk, mahu membersihkan hingus juga tidak boleh. Hilang terus fokus kepada sesi kuliah yang sedang berjalan. Aku memeluk tubuh sendiri dalam ketar yang masih terkawal.

Mahu sahaja kubuka setokin basah yang ada dikaki dan selamkan sahaja kaki di dalam besen berisi air panas.

Namun, apa dayaku kerana stoking basah itu adalah pelindung aurat seorang Muslimah seperti aku. Sekiranya aku buka, gusar aurat kaki akan terdedah di dalam dewan kuliah yang seterusnya. Tetapi, jika aku masih memakainya, pasti satu tubuhku menggeletar dibuatnya.

Selama hampir 40 minit, aku terus memeluk tubuh. Dr. Mastika berkata-kata tetapi aku langsung tidak memahaminya kerana terlalu sibuk melayan ketar dan kesejukan. Aku mahu menutup penghawa dingin yang berada di hadapanku. Cuma, tidak terluah keinginan itu. Agaknya, aku takut rakan sekuliah akan mengecamku kerana mengganggu sesi pengajaran Dr. Mastika.

“Baiklah, sampai di sini sahaja kuliah kita ya. Segala ilmu yang baik hari ini, yang saya sampaikan, datangnya daripada Allah. Yang kurang atau salah itu, adalah atas kekurangan saya sendiri. Astaghfirullahal’azim. Kamu semua boleh meninggalkan dewan. Assalamualaikum, semua.” Dr. Mastika menutup sesi pengajaran kuliah.
Aku terbersin sekali lagi. Berkali-kali kusapu hingus di hidung yang meleleh dengan tangan. Harapanku, tiada yang melihat perlakuan kurang senonohku itu. Masalahnya, aku dalam darurat. Jika kubiarkan, mahu banjir dewan ini dengan hingus yang ada ini.

“Nah. Ambil tisu ini, dan pakailah stoking ini. Alhamdulillah, saya memang selalu bekal masa-masa hujan macam ini. Takut jadi seperti kamu,” sapaan Dr. Mastika mengejutkanku.

Aku yang mahu berdiri dan meninggalkan dewan, terkesima dengan sepaket tisu dan sepaket stoking Muslimah yang dihulurkan oleh Dr. Mastika.

“Eh, tak mengapa, Dr. Itu Dr. punya,” jawabku menolak dengan ramah.

Dr. Mastika mengambil kedua-dua tanganku dan meletakkan kedua-dua paket itu ke dalam tanganku. Dia tersenyum.

“Bukan saya punya. Allah yang punya semua ini. Dan sekarang, ia rezeki kamu. Alhamdulillah.”

Selesai menghabiskan kata-kata itu dengan satu senyum manis, Dr. Mastika berpaling pergi dan meninggalkan dewan. Hanya kerana sepasang stoking yang basah, aku kenali hati murni seorang insan. -UTUSAN





Source link

HARUSKAH AKU MENYERAH ? Membangun Pribadi yang Memiliki Mental Tahan Banting di Segala Musim Kehidupan,Herdy N.Hutabarat
Shopee.com.my
RM28.60
HARUSKAH AKU MENYERAH ? Membangun Pribadi yang Memiliki Mental Tahan Banting di Segala Musim Kehidupan,Herdy N.Hutabarat
-45%
Wanita 2023 musim gugur yang baru dari Korea memakai dua set di Red Strike School of Hat dan Switched Switch. - Ya, aku tidak tahu apa yang kau lakukan. - Tidak, tidak, tidak.
Shopee.com.my
RM19.16 RM34.84
Wanita 2023 musim gugur yang baru dari Korea memakai dua set di Red Strike School of Hat dan Switched Switch. - Ya, aku tidak tahu apa yang kau lakukan. -...
Dampingi Aku Di Syurga, Kekasihku: Panduan Dalam Membina Sebuah Rumah Tangga Yang Bahagia Hingga Ke Syurga
Shopee.com.my
RM18.00
Dampingi Aku Di Syurga, Kekasihku: Panduan Dalam Membina Sebuah Rumah Tangga Yang Bahagia Hingga Ke Syurga
CD Aishah 10 Lagu (Janji Manismu / Camar Yang Pulang / Aku Di Sisimu / Kau Yang Istimewa)
Shopee.com.my
RM22.90
CD Aishah 10 Lagu (Janji Manismu / Camar Yang Pulang / Aku Di Sisimu / Kau Yang Istimewa)

Leave a Reply