Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy berkata, dia melihat segelintir pelakon baharu hanya sekadar melontarkan dialog namun tidak benar-benar menyelami watak yang dibawa.
“Sebenarnya tidak salah jika kita berfikiran jauh secara global tetapi saya pernah menonton lakonan pelakon ini. Terus terang saya ingin berkata daripada seorang kakak dan seniwati, banyak sangat yang dia harus pelajari.
“Apa yang saya lihat acuan lakonan, apabila anda melafazkan dialog dan bagaimana anda masuk ke dalam watak yang diberikan untuk melontarkan dialog.
Ogy terbuka untuk memberi nasihat kepada pendatang baharu.
“Kalau saya cakap lebih-lebih macam ini pun, pelakon itu mungkin tak faham. Tapi ramai (pelakon) yang hanya melontarkan dialog namun tidak memasuki ke dalam watak itu,” katanya kepada mStar.
Ogy berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media pementasan Teater Di Sebalik Topeng yang diadakan di Store Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur pada petang Rabu.
Dalam pada itu, Fauziah menyarankan aktor berkenaan untuk mencari jiwa dalam lakonannya bagi memantapkan kemahiran dan ilmu pengetahuan sebagai seorang anak seni.
“Banyak lagi pelakon itu kena belajar, selongkar lagi diri kerana bila mahu masuk ke dalam satu watak itu bukan hanya melihat pada ciri karakter tetapi secara keseluruhannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Insiden ‘cekik’ boleh elak kalau tahu teknik lakonan, Ogy Ahmad Daud kongsi pengalaman buat babak tarik rambut
ARTIKEL BERKAITAN: Tolak tawaran terbit filem kisah ibu dan ayah… Ogy aktif projek wakaf al-Quran sebagai saham akhirat untuk arwah
“Minda perlu berfikir, jiwa harus ada rasa, pernafasan, pergerakan, rasa tubuhnya semuanya perlu diambil kira. Jadi banyak perkara yang perlu dilakukan bukan hanya berlakon semata-mata,” ujarnya.
Pun begitu, pelakon filem Azura ini berkata dia sama sekali tidak memandang rendah hasrat pelakon berkenaan untuk merangkul anugerah di peringkat luar negara.
Malah, Ogy menyokong pelakon tersebut untuk terus berusaha gigih dalam merealisasikan impiannya itu dan membuktikan kepada netizen bahawa tiada apa yang mustahil.
Terus terang saya ingin berkata daripada seorang kakak dan seniwati, banyak sangat yang dia harus pelajari.
FAUZIAH AHMAD DAUD
PELAKON
“Jika itu adalah impiannya kerana impian itu percuma tetapi sekiranya anugerah itu yang adik inginkan, berusaha keras untuk dapatkannya.
“Buktikan kepada netizen yang awak boleh menang anugerah Oscar, insya-Allah tapi kena belajarlah jangan main asal boleh sahaja.
“Jangan rambut sahaja nak kena cantik, pakai kanta lekap (penampilan diri)… Tidak, lakonan bukan hanya itu (jaga penampilan) sahaja adik. All the best adik,” jelasnya.
Setiap lakonan perlu ada jiwa dalam watak yang dibawa.
Bukan itu sahaja, Ogy juga berkata untuk meraih kejayaan itu memerlukan pengalaman berpuluh tahun mengambil contoh bintang ternama seperti Leonardo DiCaprio dan Tan Sri Michelle Yeoh.
“Awak (pelakon) juga perlu ingat Leonardo mengambil masa berpuluh tahun untuk merangkul anugerah Oscar pertamanya. Begitu juga Brad Pitt, Al Pacino dan pelakon negara kita, Michelle Yeoh.
“Mempunyai impian itu adalah bagus saya mengalu-alukan. Jadi jika awak menyimpan impian tersebut, awak perlu buat sesuatu jangan hanya berkata-kata.
“Mulakan cari ilmu di dalam bidang lakonan, barulah awak akan menghargai seni ini,” katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!