Aidilfitri: 40,000 kenderaan dijangka masuk ke Perlis


ARAU: Sebanyak 30,000 hingga 40,000 buah kenderaan dijangka memasuki negeri ini sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Tren kemasukan kenderaan itu adalah meningkat berbanding kebiasaan di mana kebanyakan daripada pengguna lalu lintas terdiri daripada perantau dan ada juga yang ingin memasuki Thailand serta menjadikan negeri ini sebagai transit.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, dalam memastikan kelancaran lalu lintas, seramai 127 orang petugas trafik melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) juga telah diarahkan untuk bertugas pada musim perayaan ini.

“Kita cuba meminumkan jumlah anggota bercuti dan lebihkan kepada anggota untuk bertugas bagi memastikan kelancaran lalu lintas sewaktu perayaan ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 22 Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Stesen Minyak BHP Ulu Pauh, di sini, semalam.

Hadir sama bagi menyempurnakan pelancaran berkenaan adalah Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan di negeri ini, beberapa lokasi hotspot dan blackspot juga telah dikenal pasti untuk pemantauan di kawasan berkenaan oleh pihak polis.

“Sebanyak 11 lokasi hotspot telah dikenal pasti iaitu Jalan Syed Saffi, Jalan Kangar-Arau, Jalan Raja Syed Alwi, Bulatan Jubli Emas, Jalan Kangar-Alor Setar, Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Jeti Kuala Perlis, Jalan Persisir Pantai Kuala Perlis, Bulatan Padang Besar, Arked Niaga Padang Besar, Kompleks Tok Arau dan Stesen KTM Arau.

“Selain itu, terdapat 12 lokasi blackspot turut dikenal pasti iaitu KM7 Jalan Kangar-Alor Setar, KM10 Jalan Kangar-Padang Besar, KM1 Jalan Kangar-Arau, KM3 Jalan Kuala Perlis-Changlun, Jalan Behor Mali-Sungai Berembang, Jalan Raja Syed Alwi-Jalan Padang Behor, KM29 Jalan Kangar-Padang Besar, KM12 Jalan Kangar-Padang Besar, KM7 Jalan Kangar-Padang Besar, KM5.1 Jalan Kangar-Padang Besar, KM5.5 Jalan Mata Ayer-Beseri dan Km26 Jalan Kuala Perlis-Changlun,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad berkata, antara kesalahan utama yang dikesan dilakukan oleh pengguna lalu lintas adalah membabitkan penggunaan telefon bimbit sewaktu memandu kereta atau menunggang motosikal.

Beliau berkata, penggunaan telefon bimbit akan meningkatkan kecuaian yang tinggi sekali gus mendorong kepada kemalangan jalan raya.

“Antara kesalahan lain yang sering dikesan oleh polis adalah seperti memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, melanggar lampu isyarat dan memotong di garisan berkembar,” katanya.-UTUSAN





Source link

Leave a Reply