WELLINGTON: Seorang ahli Parlimen New Zealand meletak jawatan selepas didakwa mencuri barang di dua kedai pakaian mewah. 

Golriz Ghahraman meletak jawatan itu berkuat kuasa serta-merta atas dakwaan tersebut yang didakwanya berkaitan dengan tekanan peribadi dan trauma. 

Ghahraman dari Parti Hijau merupakan pelarian pertama yang dipilih ke Parlimen New Zealand.

Ketika ini, Ghahraman sedang disiasat oleh polis atas tiga dakwaan mencuri.

Ghahraman yang juga merupakan bekas peguam hak asasi manusia berkata, tindakannya `bukan tingkah laku yang boleh dijelaskan’.

Bagaimanapun, Ghahraman mengakui gagal mencapai standard diharapkan daripada ahli politik dan memerlukan masa untuk menangani kesihatan mentalnya.

“Tekanan berkaitan kerja menyebabkan saya bertindak dengan cara tidak sesuai. Saya tidak cuba memaafkan tindakan saya, tetapi saya mahu menjelaskannya.

“Pakar kesihatan mental menyatakan tingkah laku saya adalah konsisten dengan peristiwa baru-baru ini yang menimbulkan tindak balas tekanan melampau dan berkaitan trauma sebelum ini yang tidak disedari.

“Saya sudah mengecewakan ramai orang dan saya amat menyesal. Ia bukan tingkah laku yang boleh saya jelaskan kerana ia tidak rasional dalam apa cara sekalipun. Selepas penilaian perubatan, saya faham saya tidak sihat,” katanya dalam kenyataan.

Tuduhan mencuri itu membabitkan dua insiden yang didakwa berlaku di kedai pakaian mewah Auckland dan di premis runcit pakaian Wellington pada akhir tahun lalu.

Minggu lalu, Parti Hijau mengumumkan Ghahraman menarik diri daripada tanggungjawab portfolionya sementara siasatan polis sedang dijalankan. – AFP





Source link

Leave a Reply