SHAH ALAM – Keluarga mangsa MH370 mengakui perasaan mereka bercampur-baur sebaik sahaja menerima khabar mengenai tindakan kerajaan menerima tawaran Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian di dasar laut.

Isteri pramugara MH370, Intan Maizura Othaman, 44, berkata, besar harapan dia untuk melihat lebih ramai pihak tampil meneruskan misi pencarian.

“Perasaan saya bercampur baur antara harapan, rasa syukur dan kesedihan. Selepas hampir 11 tahun, ketidakpastian dan kesakitan dirasai kerana tidak mempunyai jawapan. Ia terlalu sukar buat kami.

“Terima kasih kepada Ocean Infinity kerana menawarkan kepakaran mereka untuk mengetuai pencarian ini.

“Bagi saya, inisiatif tersebut adalah mengenai menghormati orang yang kita sayang dan belajar daripada tragedi ini untuk menjadikan perkhidmatan perjalanan udara lebih selamat. Saya harap dunia akan terus bersama kami, ” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Suami kepada mangsa MH370, Shim Kok Chau, 49, pula berharap usaha berkenaan mampu menemui tanda noktah kepada misteri terbesar dalam sejarah penerbangan itu.

Ujarnya, walaupun masih dalam proses perbincangan tetapi dia mendoakan agar segala terma dan syarat berkaitan misi itu dipersetujui supaya pencarian boleh dimulakan segera.

“Saya bersyukur Kabinet akhirnya bersetuju dengan misi pencarian tersebut. Ini mencerminkan semangat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencari pesawat tersebut sejak insiden hampir 11 tahun lalu.

“Saya juga berharap kerajaan boleh mempertimbang untuk mencari di kawasan Broken Ridge di selatan Lautan Hindi. Namun saya tidak mengharapkan sebarang khabar baik sebab ia sudah begitu lama berlaku.

“Apa yang saya harapkan adalah bangkai pesawat tersebut ditemui sebagai bukti penumpang MH370 memang terkorban di sana dan mengetahui mengapa insiden ini terjadi termasuk mencari siapa yang patut bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, isteri pramugara kanan pesawat, Nurlaila Ngah@Awang, 50, berkata, dia berasa sangat berbesar hati di atas perkhabaran tersebut.

Nurlaila (kanan) bersama anak-anaknya.

Nurlaila (kanan) bersama anak-anaknya.

“Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH SWT. Terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan atas usaha untuk mencari semula MH370,” katanya.

Nurlaila merupakan isteri kepada Wan Swaid Wan Ismail dan pasangan tersebut dianugerahkan tiga anak daripada perkahwinan tersebut.



Source link

Leave a Reply