Kita semua tahu bahawa menggunakan fon kepala dengan kuat dekat telinga boleh merosakkan pendengaran. Namun, laporan dari BBC menyatakan bahawa mungkin ada isu kesihatan baru yang muncul berkaitan dengan fungsi pembatalan bunyi yang sangat popular dalam fon telinga masa kini.
Artikel ini mengupas bagaimana teknologi ini mungkin “merombak” cara otak berfungsi, terutama bagi mereka yang sering cuba menghalang bunyi latar yang mengganggu. Contohnya, seorang wanita British berusia 25 tahun yang menjalani ujian pendengaran dan keputusannya normal, tetapi dia menghadapi kesukaran untuk fokus pada bunyi dan kemudian didiagnosis dengan gangguan pemprosesan auditori (APD). APD ni adalah masalah neurologi yang mengganggu kemampuan otak untuk memahami suara dan perkataan.
Menurut lima jabatan audiologi dalam National Health Service (NHS) di UK, mereka melihat peningkatan dalam jumlah orang muda yang dirujuk kerana masalah pemprosesan bunyi yang sama. Jadi, persoalannya, apa yang mengganggu fungsi normal otak dalam kes-kes ini?
Salah satu teori yang dibincangkan dalam artikel ini adalah bahawa teknologi pembatalan bunyi mungkin menyebabkan otak lupa cara untuk menapis bunyi sendiri. Seorang audiolog yang merawat salah seorang pesakit telah meminta lebih banyak kajian mengenai kesan teknologi ini. Ini jadi penting, kerana banyak orang sekarang memilih untuk bergantung kepada fon telinga berteknologi tinggi untuk menyingkirkan bunyi bising di sekeliling.