Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram melihat masih ada enam tahun untuk melihat kejayaan peta hala tuju F:30.
F:30 secara ringkas merujuk kepada pelan strategik yang dirangka FAM dengan matlamat menjadi lima pasukan terbaik Asia menjelang 2030. Pelan ini terbahagi kepada tiga fasa iaitu fasa pertama (2019-2022), fasa kedua (2023-2026) dan fasa ketiga (2027-2030).
Fasa pertama merangkumi pembinaan asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur. Fasa kedua pula merujuk kepada kelayakan ke peringkat Asia.
Sementara fasa ketiga pula merujuk kepada pembentukan skuad kebangsaan bertaraf dunia. F:30 dilancarkan pada 2018 oleh Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Sivasundaram mengakui kegagalan skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) dan Malaysia B-20 ke peringkat Asia sedikit sebanyak merencatkan perancangan fasa kedua F:30.
Pada masa sama, beliau melihat badan induk itu masih berada pada landasan tepat lebih-lebih lagi dengan pencapaian yang dilakar dalam fasa satu.
“Tetapi kita tidak boleh membuat penilaian hanya bersandarkan kepada prestasi kedua-dua pasukan remaja pada kempen kelayakan Piala Asia.
“Apa yang boleh saya katakan, kita masih berada di landasan yang betul bersandarkan kepada beberapa pencapaian pada Fasa Satu.
“Jadi untuk mengatakan Peta Hala Tuju F:30 gagal, itu tidak benar. Kita masih ada masa enam tahun lagi untuk melihat kejayaan pada penghujung tahun 2030,” katanya.
Prestasi kedua-dua pasukan itu bakal dinilai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Teknikal FAM yang dipengerusikan Sivasundaram. Ini selepas jawatankuasa menerima laporan kedua-dua pasukan daripada pengarah teknikal, Scott O’Donell.