Sejumlah 80 perlawanan dalam Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Cabaran untuk musim 2024-2025 telah menggunakan video pembantu pengadil (VAR) setakat ini.
Ketua jawatankuasa pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram, menyatakan bahawa prestasi pengadil dan pengendalian VAR dinilai cemerlang, dengan purata 0.57 ‘Semakan Di Padang’ (OFR) bagi setiap perlawanan dan purata masa tambahan 2.27 minit khusus untuk semakan VAR.
“Mengikut panduan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), bilangan OFR dan masa tambahan untuk ‘Semakan VAR’ dalam liga kita adalah di tahap terendah.
“Ini menunjukkan bahawa penggunaan VAR dalam Liga Malaysia kini berada di landasan terbaik, sejajar dengan standard pengoperasian VAR yang ditetapkan oleh FIFA,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Sivasundaram juga memaklumkan bahawa FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan memulakan ‘Batch ke-2’ latihan VAR bermula Oktober 2024 hingga Februari 2025.
Beliau menambah bahawa barisan pengadil VAR dalam fasa kedua ini terdiri daripada pengadil muda yang berpotensi.
“Sebanyak 21 pengadil akan dilatih sebagai pengadil VAR, 21 penolong pengadil sebagai ‘Penolong Pengadil VAR’ (AVAR) dan 12 orang lagi sebagai ‘Pengendali Ulangan’ (RO).
“Untuk kali ini, tiga pengadil wanita juga akan terlibat, iaitu Nurul Ain Izzatty Zainal sebagai pengadil VAR, Nur Akmal Anuar dan Munirah Ha Ali sebagai AVAR. Ketiga-tiga mereka diiktiraf sebagai ‘Pengadil Wanita Elite AFC’,” tambahnya.
Beliau menjelaskan bahawa setiap program pembangunan pengadil dan operasinya adalah berdasarkan penanda aras yang ditetapkan oleh AFC dan FIFA.
“Oleh itu, pelaksanaan program pembangunan pengadil dan operasi VAR dalam Liga Malaysia adalah berdasarkan standard operasi dan protokol VAR yang diiktiraf oleh FIFA.
“FAM akan terus mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti dan maruah pengadil bola sepak,” ujarnya.
Selain itu, Sivasundaram turut mengucapkan tahniah kepada pengadil negara, Muhammad Nazmi Nasaruddin, atas prestasinya yang cemerlang dalam mengadili perlawanan bola sepak tempatan dan antarabangsa.