PETALING JAYA: Sebanyak 6,186 pemeriksaan dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara merangkumi 118 premis pengeluar dan pemborong sempena Perayaan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Penguatkuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, pelaksanaan tersebut adalah inisiatif kerajaan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan.
“Setakat ini tindakan undang-undang yang dikenakan adalah melibatkan 43 kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu.
“Satu kes pula adalah disebabkan tiada tanda harga,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerajaan komited menangani kos sara hidup semasa Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini dengan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina yang berkuat kuasa dari 6 sehingga 14 Februari lalu.
Dalam pada itu, Azman berkata, KPDN setakat ini tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024.
“Majoriti peniaga yang diperiksa komited serta mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuat kuasa sepanjang pelaksanaan skim ini,” katanya. – UTUSAN