SABAK BERNAM: Kerajaan sedang mengatur gerak pembinaan sebanyak 32 jambatan Bailey di semua kawasan yang terjejas akibat banjir sekali gus menyebabkan penduduk terputus hubungan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan setakat ini mengenal pasti tujuh lokasi terlibat yang akan diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, ujian tanah sedang dilaksanakan di kawasan tertentu sebelum membina jambatan tersebut.
“Beberapa tindakan kejuruteraan dilakukan di kawasan terjejas yang dikenal pasti mempunyai struktur tanah lembut dan mudah rosak.
“Kos keseluruhan bergantung kepada siapnya kerja pembinaan jambatan itu namun saya meminta ia disiapkan dalam tempoh 72 jam,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Jalan Peket 100, Simpang Lima, Sungai Besar di sini, semalam.
Sebelum ini, beliau mengarahkan tinjauan semula dilakukan di laluan-laluan yang terputus akibat bah bagi lokasi pembinaan jambatan Bailey.
Jelas Ahmad Zahid, kebanyakan jambatan Bailey itu dibina di Kelantan dan Terengganu.
“Pembinaan dua jambatan itu telah siap sepenuhnya di Rantau Panjang dan Pasir Mas, Kelantan. Kita ketika ini sedang meneliti situasi (banjir) di Terengganu bagi membina jambatan tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, pembinaan jambatan itu turut melibatkan kerjasama antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
Dalam pada itu, bercakap mengenai pusat pemindahan banjir, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sedang berusaha menyiapkan sembilan pusat pemindahan kekal yang berkapasiti lebih besar bagi pemindahan mangsa banjir.
Katanya, inisiatif itu bertujuan mengurangkan kesesakan di pusat pemindahan sementara (PPS) di sekolah kerana tidak mampu menampung jumlah mangsa yang tinggi.
Jelas Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu, pembinaan PPK diharap turut mengurangkan impak kerosakan di sekolah terlibat.
“Kebanyakan sekolah seperti dewan dan kelas di sekolah-sekolah yang dijadikan PPS perlu dibaik pulih semula kerana mengalami kerosakan.
“Kita mendapati kos penyelenggara semula itu terlalu tinggi dan perlu adanya PPK yang dapat menempatkan lebih ramai mangsa banjir,” katanya. – UTUSAN