PUTRAJAYA: Seramai 15 orang anak muda akan menggalas tanggungjawab dalam misi melakar kecemerlangan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)
Malaysia menerusi penyertaan di Worldskills Competition (WSC) kali ke-47 di Lyon, Perancis.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, susulan itu, beliau menzahirkan sokongan terhadap penyertaan anak muda terbabit pada acara yang berlangsung bermula esok hingga 16 September depan.

“Kontinjen negara akan bertanding dalam 14 bidang kemahiran termasuk bidang berteknologi tinggi seperti Robot System Integration, IT Software Solution for Business, Web Technologies, Automobile Technology, Heavy Vehicle Technology dan Digital Construction.

“Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, saya melihat WSC Lyon 2024 dapat berperanan sebagai wadah pertandingan di peringkat antarabangsa bagi menilai prestasi dan mengiktiraf bakat berkemahiran yang dihasilkan melalui program itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Melalui WSC Lyon 2024 ini juga, katanya, kontinjen negara berpeluang meneroka kepelbagaian teknologi serta amalan baik sektor TVET di peringkat antarabangsa.

Katanya, ia seterusnya akan diadaptasi dalam pelaksanaan program TVET negara, sejajar dengan hasrat kerajaan mengiktiraf TVET sebagai pemacu perubahan ekonomi negara dan pilihan utama kerjaya rakyat Malaysia.

“Sokongan komprehensif kerajaan dalam memastikan kontinjen negara di WSC Lyon 2024 ini mempunyai momentum terbaik dizahirkan melalui penyediaan latihan intensif bersama pakar negara dan pihak industri selain penyertaan pertandingan persahabatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Ia termasuklah penganjuran program-program motivasi bagi mengukuhkan aspek fizikal dan mental di kalangan peserta,” ujarnya.

Sebagai pencetus dorongan dan galakan bagi melakar kecemerlangan di WSC Lyon 2024 ini, jelasnya, kerajaan turut bersetuju memberi insentif wang tunai bernilai RM40,000 (pingat emas), RM20,000 (pingat perak), RM10,000 (pingat gangsa) dan RM4,000 (Medallion for Excellence) kepada para pemenang.

“Sebagai tambahan, peserta yang memenangi pingat emas, perak atau gangsa dalam WSC Lyon 2024 ini akan turut dianugerahkan pensijilan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dalam bidang kemahiran masing-masing,” katanya. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply