MIRI: Seramai 132 pelumba basikal Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) Malaysia 2024 Peringkat Tujuh dilepaskan dari Miri Waterfront pagi tadi.
Peserta dilepaskan pada jam 11.15 pagi oleh Menteri Pengangkutan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin.
Lee yang ditemui berkata, Miri lokasi sesuai untuk sukan lumba basikal kerana memiliki bentuk muka bumi yang sesuai untuk penganjuran perlumbaan bertaraf antarabangsa.
“Miri adalah lokasi yang memang tepat untuk perlumbaan basikal dan acara-acara lain seperti perlumbaan pertandingan kapal layar. Kita ada marina di sini,” jelasnya.
Lee berharap acara sukan itu juga boleh membantu mempromosikan Miri sebagai sebuah bandar raya peranginan.
“Kita berharap lebih banyak lagi acara antarabangsa sukan ataupun lain-lain yang akan diadakan untuk mempromosikan Miri,” tambah Lee.
Perlumbaan Peringkat Tujuh bermula di Miri hari ini melibatkan jarak sejauh 199.3 kilometer dan berakhir di garisan penamatnya di Lasar Kenyalang Bintulu.
Seterusnya perlumbaan Peringkat Lapan pada esok bermula di Lasar Kenyalang Bintulu.